BERBISA...anggota JPAM memegang ular tedung selar jantan yang ditangkap di sebuah rumah di Kampung Datuk Johan, Serting Tengah.
“Seorang jiran warga Indonesia yang cuba menghalau ular itu dengan buluh, bagaimanapun terkejut dan berlari sebelum melompat keluar ikut tingkap sebab ular itu menyerang,” kata Habibur Rahman Daud, 60.
Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, Habibur Rahman dan isterinya Shahariah Mohd Sharif, 58, serta beberapa penduduk Kampung Datuk Johan, Serting Tengah, di sini, nyaris dipatuk seekor ular tedung selar jantan sepanjang lebih empat meter dan seberat kira-kira enam kilogram itu.
Menurut Habibur Rahman, ketika kejadian dia keluar ke kedai kopi sebelum menerima panggilan telefon daripada kakak iparnya menyuruh pulang segera kerana rumah dimasuki ular.
“Isteri beritahu ketika berbaring di sofa ruang tamu sambil menonton televisyen, dia nampak cuaca di luar mendung dan ingin mengangkat kain di jemuran.
“Dia keluar melihat langit mendung sebelum berpaling ke rumah dan tersentak melihat seekor ular tedung selar pada kedudukan menegak dan meliuk-liukkan badan dengan kepala kembang seperti bersedia untuk mematuk buaian yang berayun ditiup angin.
“Buaian itu memang saya sediakan untuk cucu yang pulang ke kampung. Mujur ketika kejadian tujuh anak dan tiga cucu tidak balik kampung,” katanya.
Menurutnya, sejurus melihat ular itu, isterinya meminta bantuan jiran manakala dia sendiri mencari seorang penangkap ular dikenalinya.
“Kami memeriksa di dapur sebelum ternampak kepala ular di bawah sinki dan ia agresif apabila cuba dihalau dengan buluh.
“Saya dengan bantuan penduduk bertindak menutup semua tingkap dan pintu rumah lalu menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Pilah dan pihak berkenaan dapat menangkap ular itu,” katanya.
Katanya, itu kejadian kedua ular masuk ke rumahnya di Lorong Bunga Raya, Kampung Datuk Johan, Serting Tengah, di sini, yang dikelilingi kebun kelapa sawit dan tebu dalam tempoh empat tahun berpindah ke situ.
“Dua tahun lalu sebaik saja bangun untuk solat Subuh, saya dapati seekor ular tikus di hujung kepala, bagaimanapun ular itu dapat dibunuh,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi JPAM Kuala Pilah, Mohd Faizal Abd Razak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.55 petang sebelum dapat menangkap ular tedung selar jantan sepanjang lebih empat meter dan seberat kira-kira enam kilogram itu dalam tempoh 15 minit.
Sumber : Hmetro
No comments:
Post a Comment